Dari Aisyah RA, katanya: Hindon Binti Ubah,
isteri Abu Soyan masuk menemui Rasulullah SAW.lalu bertanya: Ya
Rasulallah, sesungguhnya Abu Sofyan adalah lelaki yang sanqat kedekut
(bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk
anak-anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya) tanpa
pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian? Maka jawab
baginda Rasul SAW.: Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang
boleh mencukupi keperluanmu dan keperluan anak anakmu.
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
SYARAH AL HADIS:
Para ulama mengambil banyak pengajaran dari Al Hadis diatas antaranya:
Orang yang ingin mendapat fatwa dan orang yang teraniaya dibolehkan
untuk menceritakan keburukan tentang orang lain yang ada kaitannya
dengan perkara yang diminta fatwa atau penganiayaan itu. Perkara ini
tidak termasuk ke dalam bab larangan mengumpat (Al Ghibah). Tetapi hal
ini termasuk kedalam salah satu jenis mengumpat yang dikecualikan.
Nafkah isteri adalah tanggungjawab atau kewajiban suami. Adapun kadar
nafkah ialah secukupnya. Ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh Nabi:
Ambillah dengan baik yang dapat mencukupkan keperluanmu dan keperluan
anak anakmu.
Kadar kecukupan yang dimaksudkan ialah berdasarkan adat dan keadaan
manusia, berbeza-beza kadarnya disebabkan kerana perbezaan masa dan
tempat, apakah dia orang yang hidup senangkah atau dia orang yang
hidupnya susah.
Jika orang yang wajib mengeluarkan nafkah tersebut enggan memberinya
kepada pihak yang berhak menerimanya atau bersifat sangat kedekut, maka
orang yang berhak menerimanya atau orang yany mengatur perbelanjaan
anak-anaknya itu dibolehkan mengambil harta (duit) orang tersebut
walaupun tanpa pengetahuannya. Ini kerana sebabnya nyata dan zahir. Dan
ini bukan kes khianat, dan ini tidak termasuk kedalam larangan Nabi saw.
: ” Jangan kamu khianat kepada orang yang mengkhianati kamu “.
Nafkah anak adalah kewajiban dan tanggungjawab ayahnya. Bukan
tanggungjawab ibu dan bukan pula tanggungjawab orang-orang lain seperti
datuknya, pamannya dan lain-lain.
Bahawa orang yang diserahkan tanggungjawab mengatur sesuatu urusan
perbelanjaan dan kewangan, dapat diterima ketentuannya tentang jumlah
kadar yang diperlukan ini kerana dia adalah orang yang memikul amanah,
dan dia memiliki kuasa dalam hal itu.
Bahawa orang yang meminta sesuatu fatwa yang ada kaitannya dengan
orang lain, jika orang yany ditanya (mufti) dapat menerima kebenaran
perkara yang diajukan itu maka tidak perlulah dimaklumkan perkara
tersebut kepada orang lain itu. Lebih lebih lagi jika perkara tersebut
dapat mendatangkan mudarat (bahaya) sebagaimana persoalan yang
terkandung dalam Al Hadis diatas. Barangkali akan rusak rumahtangga
Hindon jika aduan itu dimaklumkan kepada Abu Sofyan.
JENIS-JENIS MENGUMPAT YANG DIBOLEHKAN :
Sebagaiamana kita sama maklum bahawa hukum mengumpat adalah haram.
Mengumpat ialah menceritakan tentang aib atau keburukan seseorang yang
apabila orang tersebut mendengarnya maka ia akan marah dan benci.
Dalam hal ini Imam An Nawawy dalam kitabnya Riyadhus Salihin berkata:
Ketahuilah bahawa mengumpat adalah dibolehkan atas sebab-sebab tertentu
dan mengikuti lunas-lunas syara’ (agama), jika sesuatu yang penting
tidak mungkin tercapai kecuali dengannya. Mengumpat yang
diperbolehkan-oleh agama itu ada enam jenis:
(1) KES PENGANIAYAAN.
Dibolehkan kepada orang yang dianiaya untuk mengadu kepada pihak
berkuasa seperti Sultan, Qadhi atau lain-lain pihak yang mempunyai kuasa
untuk memberi keinsafan dan kesedaran kepada orang yang menganiaya itu.
Umpamanya: Si Polan itu telah menganiaya saya begini dan begitu.
(2) MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.
Umpamanya seseorang berkata kepada pihak polis atau bahagian pencegah
maksiat: Si Polan itu telah berbuat perkara sumbang, tolong tuan cegah
perkara tersebut. Maksud orang itu ialah menjadikan pihak berkuasa
sebagai orang tengah untuk mencegah kemungkaran. Tetapi jika tidak
dengan maksud itu maka hukumnya adalah haram.
(3) MINTA FATWA.
Umpamanya ia berkata kepada mufti atau orang yang dipercayai boleh
memberi fatwa: Ayah saya atau saudara saya atau suami saya telah
menganiaya saya, adakah dia boleh berbuat demikian terhadap saya,
bagaimana cara supaya saya dapat terhindar dari penganiayaannya. Perkara
ini dibolehkan kerana hajat. Tetapi adalah lebih baik sekiranya dengan
cara sindiran sudah tercapai tujuannya. Namun demikian menyebut nama
orang yang menzalimi adalah dibolehkan sebagaimana dalam kisah Hindon
diatas.
(4) MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI.
Umpamanya: Kita menyebut tentang keaiban periwayat hadis seperti si
polan pendusta, tidak amanah, kurang kuat ingatannya dan lain-lain.
Perkara ini dibolehkan kerana tujuan kita berbuat demikian semata mata
ingin menjaga keaslian hadis Rasulullah saw. Sebab tanpa berbuat
demikian maka akan terdedahlah hadis Rasul saw dengan pemalsuan. Atau
paling kurang supaya orang ramai jangan sampai menyangka hadis hadis
tersebut sebagai hadis yang sahih. Apalagi jika orang berkenaan
sememangnya orang yang suka memalsukan hadis. Dan menyatakan keaiban
orang lain ini juga boleh jika kita diminta pandangan tentang peribadi
seseorang yang akan menjadi rakan kongsi perniagaan , atau menitipkan
amanah , atau urusan perkahwinan , demikian juga tentang berjiran dan
sebagai.
(5) JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID’AH SECARA TERANG.
Umpamanya: Minum arak secara terang terangan atau seorang guru agama
yang mengajar ajaran-ajaran sesat seperti syirik dan bid’ah atau bomoh
dan dukun yang menggunakan amalan amalan syirik. Kita diperbolehkan
menyebut keburukan atau keaiban orang orang berkenaan supaya muslimin
yang lain dapat sentiasa waspada dan tidak terpedaya oleh mereka. Tetapi
dalam hal ini kita tidak boleh menceritakan cela mereka yang lain
kecuali ada sebab-sebab lain yang membolehkannya sebagaimana tersebut
diatas.
(6) SEBAGAI TANDA PENGENALAN.
Andaikata seseorang dikenal dengan gelaran tertentu. Umpamanya: Mamat
Pincang, Jali Sumbing, Enon Gendut dan lain-lain maka dibolehkan kita
menyebut sifat-sifat tersebut tetapi dengan syarat tidak dengan nada
atau tujuan menghina dan merendah rendahkan. Andaikata orang tersebut
sudah dapat dikenal tanpa menggunakan gelaran-gelaran diatas maka itu
adalah lebih baik.
—————————–
Satu Lahi Hadis dan kupasan..
Di dalam kitabnya yang berjudul ‘Nuzhatul Muttaqin’ syarah kepada
kitab hadis yang masyhur ‘Riyadhus Sholihin’ mengenai siapa yang
diharuskan mengumpat, pada asalnya mengumpat adalah haram akan tetapi
diharuskan dalam keadaan keadaan tertentu. Dinyatakan oleh beliau
diharuskan kepada enam golongan iaitu:
1. Mengadu kezaliman: Diharuskan kepada orang yang dizalimi mengadu
kezaliman kepada qadi atau seumpamanya iaitu orang yang mempunyai
kekuatan untuk menangani kes tersebut. Contohnya mengadu kepada hakim
bahawa dia telah dizalimi oleh polan bin polan.
2. Meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran: Mengadu kepada
orang yang mampu untuk mencegah kemungkaran tersebut.contohnya mengadu
kepada bapa atau keluarga pelaku maksiat agar keluarganya dapat
menasihati serta mencecahnya dari terus melakukannya.
3. Meminta fatwa: Diharuskan bagi orang yang ingin menanyakan fatwa
mnceritakan apa yang berlaku bagi membolehkan mufti mengeluarkan hukum
yang bertepatan dengan apa yang dikehendakinya.
4. Memberi peringatan kepada Muslimin serta menasihati mereka.
5. Orang yang terang terang melakukan maksiat: Dibolehkan mengumpat
ke atas mereka ini bagi menyedarkan kesalahan mereka. Sebagai contoh
mereka berjudi atau minum arak di jalanan, dibolehkan mengumpat atau
mengata mengenai hal mereka.
6. Pengenalan kepada seseorang insan yang mana tidak dikenali orang
tersebut kecuali dengan gelaran: Contohnya polan bin polan tidak
dikenali di tempat asalnya kecuali dengan gelaran tertentu, maka
dibolehkan.
Disediakan oleh:
Ust Muhamad Farhan bin Ismail
Jabatan Feqh Wa Usul
Universiti Mu’tah
Jordan.
Sumber : http://taraknamav2.wordpress.com/2007/08/11/hukum-mengumpat-dan-mengaibkan-orang/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar